MENGUPAYA KEPIMPINAN, MENYANTUNI INSAN, MEMANTAPKAN KESEJAHTERAAN
Selamat Datang ke Website Yayasan Kepimpinan Al Bait
MENGUPAYA KEPIMPINAN, MENYANTUNI INSAN, MEMANTAPKAN KESEJAHTERAAN
Yayasan Kepimpinan Al Bait (YKAB) adalah sebuah badan bukan berorientasikan keuntungan. YKAB ditubuh berlandaskan tiga (3) objektif iaitu memupuk kepimpinan diri dalam kalanagan generasi muda, penganjuran program-program kebajikan dan menyubur budaya menyumbang dalam masyarakat.
YKAB merupakan cetusan ilham Datu Haji Abang Mohd. Shibli Bin Haji Abang Mohd. Nailie atas pemerhatian dan pengalamannya selama suku abad dalam urusan membela dan menyantuni mereka yang memerlukan. Bagi meneruskan perjuangan ini, penubuhan YKAB memberi penekanan khusus berhubung kebolehan kepimpinan dalam menangani isu kebajikan dan usaha untuk membiayai keperluan kesejahteraan masyarakat.
YKAB telah diperbadankan pada 20hb April 2022 di bawah Akta Syarikat 2016 setelah diluluskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Untuk merealisasikan hasrat penubuhan YKAB, Moto YKAB "Mengupaya Kepimpinan, Menyantuni Insan, Memantapkan Kesejahteraan" menjadi wadah perjuangannya.
Diinspirasi daripada percikan Air Zam Zam dari kisah Nabi Ibrahim A.S. dan anak baginda Nabi Ismail A.S. Dalam Bahasa Arab Zam Zam bermaksud banyak atau limpahan. Oleh yang demikian, sepertimana yang kita ketahui Air Zam Zam tidak pernah kering sehingga ke hari ini walaupun telah digunakan selama 40 abad dan kekal hingga ke hari kiamat. maka begitu jugalah harapan kepada YKAB baik dari segi kewangan mahupun penganjuran program, semoga berkekalan selamanya bagi menyantuni masyarakat yang memerlukan.
YKAB menggunakan 2 jenis warna iaitu Hitam & Emas. Warna hitam melambangkan ketegasan dalam pelbagai aspek. begitulah tegasnya YKAB untuk merealisasikan visi dan misi penubuhan Yayasan. Warna emas pula melambangkan tingginya nilai YKAB dalam meneraju aspek kebajikan dan kepimpinan. Di samping itu, warna emas juga dikategorikan sebagai warna yang istimewa dan ini menunjukkan keistimewaan Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Anggota, Barisan Pengurusan dan Masyarakat yang Terlibat dalam menjayakan objektif penubuhan YKAB.
Sebagai sebuah Yayasan yang melahirkan kepimpinan dan membiayai kesejahteraan mereka yang memerlukan.
Yayasan berperanan untuk menganjur penjanaan dana bagi membiayai program-programnya.
Pelanggan-pelanggan Yayasan adalah anggota Koperasi Al-Bait Sarawak Berhad, masyarakat umum dan mereka yang memerlukan.
Menganjur aktiviti pembiayaan awam daripada penyumbang dari dalam dan luar Sarawak.
Menganjur program pembangunan modal insan, kemahiran kepimpinan dan penyediaan fasiliti latihan.
Menganjur melalui program sinergi bersama Tabung Baitulmal Sarawak dalam memberi khidmat nasihat berkenaan kemahiran kepimpinan, perancangan strategik, pembangunan sumber manusia dan penyediaan fasiliti latihan.
Menganjur dan mengurus program kebajikan dan aktiviti-aktiviti sosial untuk anggota Koperasi Al-Bait Sarawak Berhad dan masyarakat umum.
Untuk melaksanakan program dan aktiviti bagi menghasilkan golongan kepimpinan yang bijaksana dan berwibawa untuk kesejahteraan Ummah.
Untuk melaksanakan inisiatif budaya menyumbang dan program penjanaan dana yang berterusan bagi membiayai aktiviti-aktiviti Yayasan.
Untuk mentarbiah dan melibatkan masyarakat dalam program kebajikan dan kesejahteraan.
Insan Terbela
Untuk mentarbiah dan melibatkan masyarakat dalam program kebajikan dan kesejahteraan
Insan Bijaksana
Untuk melaksanakan program dan aktiviti bagi menghasilkan golongan kepimpinan yang bijaksana dan berwibawa untuk kesejahteraan Ummah
Pendanaan Berterusan
Untuk melakukan inisiatif budaya menyumbang dan program penjanaan dana yang berterusan bagi membiayai aktiviti-aktiviti Yayasan
"MENJENGAH KE HADAPAN, ADALAH MENJADI HARAPAN AGAR TAHUN 2026 AKAN TERUS MEMBAWA KECEMERLANGAN YANG LEBIH BERMAKNA, DENGAN MEMPERKUKUH USAHA, MEMPERLUAS JARINGAN SERTA MEMPERTINGKAT IMPAK KEPADA MASYARAKAT SECARA MENYELURUH."
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas limpah kurnia-Nya, segala program dan aktiviti sepanjang tahun 2025 telah dapat dilaksanakan dengan lancar serta mencapai matlamat yang dirancang.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada seluruh komuniti YKAB serta para pemegang amanah atas komitmen, sokongan dan usaha berterusan dalam menjayakan setiap inisiatif yang dilaksanakan. Kejayaan ini adalah hasil sinergi dan kerjasama semua pihak yang terlibat.
Rasa syukur juga dizahirkan atas penerimaan keahlian dalam Regional Islamic Da’wah Council of Southeast Asia and the Pacific (RISEAP) pada 12 November 2025 di Seoul, Korea Selatan. Pencapaian ini menjadi satu pengiktirafan bermakna yang membuka ruang lebih luas untuk kerjasama dan pengembangan peranan YKAB di peringkat antarabangsa.
Ucapan terima kasih turut ditujukan kepada para penyumbang dan rakan strategik daripada institusi luar yang sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama, antaranya Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta pihak-pihak lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Tidak dilupakan, penghargaan khusus kepada Sukarelawan Yayasan Kepimpinan Al Bait (SYKAB) yang menjadi tulang belakang dalam menjayakan pelbagai program dan aktiviti.
Menjengah ke hadapan, adalah menjadi harapan agar tahun 2026 akan terus membawa kecemerlangan yang lebih bermakna, dengan memperkukuh usaha, memperluas jaringan serta mempertingkat impak kepada masyarakat secara menyeluruh. Semoga segala perancangan yang diatur akan dipermudahkan dan terus diberkati.
Sekian, terima kasih.
"DI YKAB, KAMI BUKAN SEKADAR BEKERJA, TETAPI KAMI BERJUANG DEMI MEMASTIKAN KEBAJIKAN MASYARAKAT KHUSUSNYA GOLONGAN YANG MEMERLUKAN AGAR TERUS TERBELA."
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat, kasih sayang dan izin-Nya, Yayasan Kepimpinan Al Bait (YKAB) telah berjaya melepasi tahun keempat pengoperasiannya sejak penubuhannya pada tahun 2022. Saya juga amat bersyukur kerana masih diberi amanah untuk terus menerajui YKAB pada tahun kelima ini. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah YKAB khususnya kepada YBhg. Datu Pengerusi di atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada saya untuk memikul tanggungjawab ini. Insya-Allah segala usaha akan terus diperkasakan bagi memastikan YKAB kekal relevan serta terus berperanan dalam menyantuni masyarakat khususnya golongan yang memerlukan.
Tahun 2025 menyaksikan perkembangan yang amat memberangsangkan buat YKAB dari segi penganjuran program dan aktiviti, jaringan kolaborasi serta pencapaian organisasi. Seiring dengan perkembangan yang dicapai, YKAB terus memainkan peranan penting dalam memperkasa serta menyantuni masyarakat menerusi pelbagai program yang lebih strategik, tersusun dan berimpak tinggi.
Selain itu, YKAB turut aktif menjalinkan kerjasama strategik bersama pelbagai agensi di Sarawak seperti Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Harakah Islamiah (HIKMAH), Unit Transformasi dan Inovasi, Jabatan Premier Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI), Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) dan beberapa agensi lain. Di peringkat persekutuan pula, YKAB turut menjalinkan kolaborasi bersama Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), UDA Holdings Berhad (UDA), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan lain-lain agensi berkaitan.
Di samping itu, penglibatan YKAB di peringkat antarabangsa turut berkembang melalui kolaborasi bersama Regional Islamic Da’wah Council of Southeast Asia and the Pacific (RISEAP), Masjid Kapal Munzalan dan Yayasan Indonesia Mustahil Miskin. Segala usaha dan kolaborasi ini dilaksanakan dengan satu matlamat yang jelas iaitu untuk membantu seramai mungkin golongan yang memerlukan agar lebih ramai masyarakat dapat menerima manfaat melalui pelaksanaan program yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.
Di kesempatan ini juga, saya ingin mengetengahkan salah satu daripada projek baharu yang diperkenalkan oleh YKAB pada tahun 2025 iaitu YKABarber. Alhamdulillah, pada tahun ini YKAB berjaya merealisasikan penubuhan premis fizikal pertama di bawah Program Perkasa menerusi platform YKABPRENEUR. Inisiatif ini diwujudkan bagi membuka peluang kepada Alumni Akademi Latihan Insan (ALI) yang berpotensi dalam bidang gunting rambut untuk terus mengembangkan kemahiran mereka secara lebih intensif, profesional dan berdaya saing.
Pada tahun ini juga, YKAB turut aktif melibatkan diri dalam penyertaan serta penganjuran program di peringkat antarabangsa seperti World Zakat & Waqf Forum (WZWF) 14th Annual Meeting & Conference dan Contemporary Leadership International Summit (CLIS) diterima untuk menganggotai Regional Islamic Da’wah Council of Southeast Asia and the Pacific (RISEAP), sebuah organisasi NGO antarabangsa yang memperkukuhkan jaringan kerjasama organisasi Islam di Asia Tenggara.
Sesungguhnya, segala kejayaan yang dikecapi ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa perjuangan, pengorbanan, usaha serta kerjasama daripada pelbagai pihak. Sehubungan itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah YKAB, khususnya kepada YBhg. Datu Pengerusi atas sokongan, dokongan dan bimbingan yang berterusan terhadap segala usaha pihak pengurusan dalam merealisasikan visi dan misi YKAB.
Penghargaan yang tidak terhingga juga saya tujukan kepada seluruh barisan pengurusan dan warga kerja YKAB yang menjadi tulang belakang organisasi ini. Mereka sentiasa komited, cekal dan tidak pernah mengenal erti lelah dalam memastikan setiap perancangan strategik dapat dilaksanakan dengan baik, tersusun dan sistematik. Tanpa dedikasi dan pengorbanan mereka, sudah pasti segala kejayaan ini tidak akan dapat dicapai.
Ucapan penghargaan turut ditujukan kepada Sukarelawan Yayasan Kepimpinan Al Bait (SYKAB) yang memainkan peranan amat penting dalam pengurusan serta pelaksanaan program-program YKAB sepanjang tahun. Mereka sentiasa berada di barisan hadapan dalam memastikan setiap program dapat dilaksanakan dengan lancar, teratur dan sempurna demi manfaat masyarakat.
Seterusnya, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Rakan Strategik dan Kolaborasi YKAB yang sentiasa menyokong segala aspirasi dan usaha kami dalam melaksanakan amanah ini. Dengan sokongan dan kerjasama yang diberikan, pelbagai program yang dirancang dapat dilaksanakan dalam skala yang lebih besar serta memberi impak yang lebih signifikan kepada masyarakat. Tidak dilupakan juga kepada seluruh masyarakat khususnya di Sarawak yang sentiasa menyokong usaha dan program YKAB sama ada melalui sumbangan kewangan, tenaga mahupun sokongan moral.
Akhir kalam, saya ingin berkongsi bahawa setiap penganjuran program dan aktiviti YKAB sentiasa berteraskan tiga konsep utama iaitu:
Yang Memberi — Lillah (ikhlas kerana Allah);
Yang Melaksana — Amanah; dan
Yang Menerima — Qanaah (reda dan merasa cukup).
Berpegang teguh kepada tiga prinsip ini, saya mendoakan agar segala usaha dan pengorbanan semua pihak yang menjayakan program dan aktiviti YKAB sepanjang tahun ini akan terus diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT. Niat kami di YKAB hanyalah satu, iaitu untuk membantu masyarakat serta menjadi jambatan kepada mereka yang ingin bersama-sama menyumbang dan berbakti.
Di YKAB, kami bukan sekadar bekerja, tetapi kami berjuang demi memastikan kebajikan masyarakat khususnya golongan yang memerlukan agar terus terbela. Sekali lagi, pihak YKAB ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan segala program dan aktiviti YKAB sepanjang tahun 2025.
Marilah kita bersama-sama berdoa agar YKAB akan terus kekal relevan, istiqamah dan berperanan pada tahun-tahun mendatang agar lebih ramai masyarakat dapat menerima manfaat, Insya-Allah.
HAJI ABG FAISAL BIN HAJI ABG MARZUKI
HAJI SULAIMAN BIN HAJI MAHILI
BOLHASSAN ISKANDAR TAIBI
HAJI ISKANDAR BIN ALLAN
NUR SYAHMINA BINTI ABDUL GHANIE
WIRRMEEZY BIN WALID
NUR ALYAA IZZATI BINTI SAZALI
DEWI ASYIKIN BINTI AJES
MUHD FAHMI HAKIM BIN MUHD NAWAWI
DAYANGKU MAISARA BINTI AWG MAHMUD
NUR NAJMINA AQILLAH BINTI ZAILANI
MUHD HABIB AIMAN BIN MOHD HAZMAN PETER